Wajah Diariku

Khamis, 23 Jun 2011

*~ SAAT BERPISAH ~*

Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan.


Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu, maka perginya tidak diduga. Apabila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Apabila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji... Tiba masanya pasti kembali!
Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar gantu, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan: 
"Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan."
Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir laluyang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang... untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap...untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mejahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
"Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya."
Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak menciptakan manusia bodoh. Tuhan menciptakan manusia dengan kebijaksanaan berbeza. Justeru, carilah apakah "kebijaksanaan" itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.
Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan djemput maut...katalah pada diri, apabila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu apabila berdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Ingatlah kata-kata ini:
"In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning."
Sesungguhnya mati itu bukan pengakhirantetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan - DARI ALAM DUNIA KE ALAM BARZAKH. SAMA SEPERTI KELAHIRAN - proses perpindahan dari alam rahim ke alam dunia.
Ya, kalau sanggup datang, mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya...Syurga! Amin 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SUAMI jadikan ISTERI tabah!


Bagaimana kaedah seorang suami yang ingin membantu isterinya yang sedang sedih? Sebagaimana yang kita maklumi, isteri hanya ingin berkongsi dan menerokai masalahnya bersama orang yang dia sayangi, agar hilang rasa tekanan dan timbul rasa bahagia yang dirinya sedang difahami oleh suaminya. Renungi sketsa ini sebagai rujukan.
Suatu petang, Sarah seorang guru subjek math pulang dari sekolah dengan wajah yang kurang ceria. Yusof, suaminya yang bercuti pada hari itu menghidangkan makanan di atas meja. Sarah membuka mulut menanyakan soalan yang Yusof sudah mengerti yang akan dijawab semula oleh isterinya, "Papa tahu tak apa yang berlaku di sekolah tadi?"
"Apa yang berlaku?" tanya Yusof menyatakan kesediaannya mendengar.
"Tadi mama kena marah dengan Pengetua, dia tuduh mama berkira dan tidak mahu berkerjasama dengan Ketua Jabatan. Mama jawab semua tuduhannya, tetapi dia tidak mahu mendengar. Di lebih dengar cakap si folan tu. Tuduhan dia semuanya tidak benar. Selama ini mama tidak berkira . Mama bekerja untuk mendidik anak bangsa di sekolah, tetapi hari ini mama dituduh sebagai guru yang tidak mahu bekerjasama. Mama sedih sangat."
Yusof mendengar dengan penuh simpati. Dia yang duduk menghadap hidangan di sebelah hadapan isterinya meletakkan kedua tangannya di atas meja dan memandang isterinya dengan rasa kasihan. Sarah terus mengadu. Nasi di hadapannya belum disentuh lagi. Sarah terus menceritakan perasaan dan rasa terkilannya kepada ketua jabatannya dan sebagainya kerana tidak mahu memahami dan menghargai sumbangannya selama ini.
Yusof terus mendengar segala luahan isterinya dengan mengiakan semua pandangan dan keluhannya. Sepuluh minit berlalu, Sarah mula menjamah nasi dan ikan patin masak tempoyak yang dimasak oleh Yusof. Yusof sedar yang Sarah tiada selera, namun kerana gulai itu dimasak oleh suaminya, dia gagahkan juga untuk menghargai masakan dan kesanggupan suaminya mendengar masalah berat yang dia hadapi sebentar tadi.
Selesai makan, Yusof pun memimpin tangan Sarah ke bilik tidur dan terus memeluknya dan menggosk-gosok belakangnya sambil membisikkan, "Sabar ya sayang, papa bersama mama, nanti pengetua tahulah, siapa yang betul, siapa yang salah." Bercucuran semula air mata Sarah membasahi dada dan bahu Yusof.
Inilah caranya suami membantu isteri. Dengarlah rintihannya.
Senjata ketenangan seorang isteri ialah air matanya.
Senjata pertolongan suami pula ialah pelukan mesra dan rasa prihatin.
Suami tidak perlu menyelesaikannya.

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّن أَهْلِهِ, وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَآ إِنْ يُرِدَآ إِصْلَحًا يُوَفِّقِ اللهُ بَينَهُمَآ...

Maksudnya ::
Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan keduanya (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuan-Nya.